~ Jangan marah ~


Pasangan perlu renungkan punca perselisihan, elak saling menuduh supaya pertengkaran tidak merebak

DALAM kehidupan suami isteri atau alam perkahwinan satu perkara yang tidak dapat dielakkan ialah konflik atau perselisihan faham.

Pelbagai perkara boleh mencetuskan perbalahan, malah perkara kecil seperti terlupa membeli sesuatu barangan atau memberi komen masakan isteri kurang enak boleh menjadi bahan bertengkar.

Betul kata seniman agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee dalam lirik lagu beliau, ‘sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri’. Konflik ada kebaikan dan keburukan kepada pasangan yang mengharungi alam rumah tangga.

Aspek positif mungkin konflik itu boleh mematangkan perhubungan suami isteri. Dalam perkahwinan kita terpaksa berkongsi segalanya dan melalui perbalahan, kita akan tahu kelemahan dan kelebihan suami atau isteri.

Perkara negatifnya apabila perbalahan tidak dikawal dan masing-masing mahu menunjukkan ego sendiri, pertengkaran yang berkisar perkara kecil atau remeh-temeh boleh berlarutan kepada ‘perang dingin’ atau krisis lebih besar.

Dan, dibimbangkan apabila krisis itu tidak dikawal atau salah seorang tidak mahu mengalah, ia boleh menyebabkan penggunaan fizikal seperti memukul isteri atau pinggan mangkuk melayang.

Malah, perkara dibimbangi apabila ia berakhir dengan perceraian.

Ada suami yang terlalu marah kepada isteri sanggup mengeluarkan perkataan, ‘Aku ceraikan kamu dengan talak tiga’. Memang lidah itu lembut dan boleh menuturkan apa saja apabila marah tetapi akibatnya ialah perkahwinan dan anak-anak menjadi mangsa.

Hendak dirujuk semula sudah tidak boleh, justeru apabila perasaan marah sudah hilang, masing-masing akan menyesal. Malah, ketika itu jika menangis air mata darah pun, sudah tidak mempunyai sebarang pengertian.

Bagi memberi panduan kepada suami isteri melalui saat-saat pertengkaran, cuba ikuti cara di bawah, mungkin ia sedikit sebanyak dapat membantu apabila marah menguasai diri.

# Cuba fahami sebab dan punca perselisihan tercetus antara suami isteri secara bersama. Renungkan apakah sumber kemarahan yang menjadi pertengkaran itu boleh merebak jauh.

# Elakkan daripada membuat tuduhan dan menyalahkan pasangan dengan mengaitkan pelbagai sebab dan punca. Cuba duduk berasingan untuk seketika bagi mendapatkan sedikit petunjuk sebab yang menimbulkan kemarahan.

# Jangan menggalakkan perselisihan dengan pelbagai dorongan seperti merungut mengenai perkara yang tidak diselesaikan. Contohnya, merungut mengenai keluarga pasangan atau ciri peribadinya atau prestasi dirinya kepada pasangan.

# Jangan menggunakan kaedah mencabar dengan perkara yang boleh menyemarakkan api kemarahan seperti memperlekehkan kehadiran pasangan dengan satu taraf yang memalukannya atau mengungkit kisah lama yang tidak dapat diulangi semula.

Ada juga isteri disebabkan terlalu marah sanggup mencabar suami menceraikannya tanpa memikirkan baik buruk dan masa depan anak-anak jika berlaku perkara sedemikian.

# Jika pasangan dapat berfikir dengan tenang dan perasaan yang terkawal, suami isteri mampu saling bertukar pandangan dan mencari jalan memperbaiki prestasi masing-masing.

# Pasangan yang bijak sentiasa melihat perkara positif untuk memperbaiki punca perselisihan, bukan mencari bukti dan alasan untuk menamatkan tekanan.

# Elakkan perselisihan di hadapan orang lain termasuk anak-anak kerana ia akan membuatkan mereka mengikuti perangai yang tidak baik itu. Satu punca masalah sosial remaja ialah keluarga yang porak peranda dan ibu bapa selalu berselisih faham. Justeru, anak-anak lebih sukar melepak di luar berbanding di rumah yang dianggap memberi tekanan jiwa.

# Adab yang paling baik ialah jika kita berselisihan faham, mintalah pandangan mereka yang boleh diharapkan dan tidak mempunyai apa-apa kepentingan. Contohnya, anda boleh meminta nasihat kaunselor atau pertubuhan wanita yang menyediakan talian khusus untuk anda meluahkan perasaan marah.

# Apabila anda terlalu marah, cuba beredar dan mengambil wuduk untuk bersolat kerana dengan menghadap Allah, kita akan meredakan perasaan marah. Sesungguhnya perasaan marah itu syaitan kerana makhluk itu tidak senang suami isteri hidup dalam aman damai dan sentiasa mengerjakan suruhan Allah.

# Ingat pesanan ini. Kebijaksanaan seseorang itu bukan kerana kekuatan fizikal atau tubuh yang sasa tetapi apabila suami atau isteri itu dapat mengawal perasaan marah.

Pada zaman Rasulullah s.a.w, musuh Islam sanggup membaling batu kepada Nabi tetapi baginda tidak marah sebaliknya memaafkan orang yang melakukan perbuatan itu.

0 Response to ~ Jangan marah ~

Post a Comment